Monday, November 30, 2009

Selamat Datang Ke Kraft1Malaysia


"Tidak Ada Manusia Yang Hidup Untuk Gagal, Tetapi Tidak Merancang Samalah Seperti Merancang Untuk Gagal"

Salam sekapur sireh:

Berbekalkan azam dan tekad untuk berjaya, tidak semua individu berani berusaha untuk merubah keadaan hidupnya. Itulah antara usaha keras yang dilakukan oleh Encik Rosli Mohd Darus bersama isterinya yang tercinta. Mengusahakan satu perusahaan kraftangan berasaskan buluh, rotan dan tempurung kelapa terbuang sebagai satu cara membantu anak kesayangan mereka adik Muhammad Asraf yang kini merupakan pemilik kepada Pusat Latihan OKU Kraf yang kini baru sahaja berusia 21 tahun. Itulah hasil keazaman dan tidak lagi menoleh ke belakang yang mereka sekeluarga lakukan sebelum ini sehingga mereka mampu memiliki perniagaan kraftangan yang jarang-jarang sekali di usahakan dalam kalangan anak muda masa kini, malahan diceburi oleh individu kurang upaya.

Latar belakang dan sejarah

Encik Muhamamad Asraf bin Rosli (pemilik Pusat Latihan OKU Kraft) kini baru sahaja mencecah usia 21 tahun. Akibat dari kemalangan jalan raya pada 2 Oktober tahun 2005 di Bulatan Kampung Pandan, beliau menerima rawatan selama 9 bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan yang dialaminya.

Kesan akibat kemalangan tersebut, beliau telah mendapat lumpuh dari bahagian dada sehingga ke hujung kakinya. Kini pergerakannya terbatas menggunakan kerusi roda dan bagi Encik Muhamad Asraf dan keluarganya, itu bukanlah tanda noktah perjalanan hidupnya. Masih banyak yang boleh dilakukan untuk berjaya walaupun kini berada di dalam keadaan kurang upaya.

Hasil pergaulan beliau yang aktif bersama persatuan Orang Kurang Upaya (OKU), beliau mendapati sebilangan besar dari golongan OKU ini menggalami masalah dalam mencari pekerjaan, yang menyukarkan mereka mencari rezeki untuk sesuap nasi. Insan mana yang inginkan saudara senasibnya kekal berada di dalam dilema kepayahan selamanya dan maka dengan itu, terbitlah inisiatif di hati sanubari Encik Muhammad Asraf dan keluarga menubuhkan Pusat Latihan OKU Kraf ini.

Hadir dari keluarga yang sebelum ini berkemahiran dan pernah berlatarbelakangkan peniaga kraftangan rotan, beliau mencari pengalaman dan kemahiran yang sudah lama mengalir di dalam darahnya itu dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Hasilnya, kesemua pengalaman yang diperoleh membantu beliau untuk terus maju di dalam industri kraf yang sememangnya popular di dalam dan luar negara. Ilmu itu seperti lautan luasnya, merasakan banyak lagi ilmu yang harus dipelajari dan menambah kemahiran yang sedia ada, beliau mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Negeri Sembilan di Kuala Pilah bagi melakukan nilai tambah dan memvariasikan produk yang akan dihasilkan kelak. Semangat ingin maju ke depan lebih berkobar di sanubari mereka apabila bekas Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong penuh usaha ini dan sanggup memberikan sumbangan peribadi beliau kepada Pusat Latihan OKU Kraf ini. Individu mana yang tidak gembira apabila usaha gigih yang dilakukan selama ini bukanlah dilakukan sekadar melepas batuk ditangga malahan ditatang umpama minyak yang penuh lebih-lebih lagi apabila mereka mendapat sokongan dan cetusan minat dari pemimpin terkemuka negara. Semangat inilah yang akhirnya membantu Encik Rosli sekeluarga meneruskan usaha walaupun beliau sedar, di dalam dunia perniagaan ada turun dan ada naiknya. Seringkali terngiang-ngiang di ingatan beliau akan pesan yang diberikan oleh Tun Dr. Mahathir kepadanya:

"Bidang kraf ini, kalau diusahakan boleh membawa kekayaan"
-pesan Tun Dr. Mahathir

Selain daripada itu, Pejabat Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu dijawat oleh Dato' Seri Mohd Najib juga menyokong penuh usaha murni ini. Hasilnya, pasaran kraftangan yang diusahakan beliau bersama keluarga kini mendapat sambutan yang tinggi dan kini mereka merencanakan satu usaha pemasaran lebih agresif bukan sahaja bagi mengejar keuntungan semata-mata, malahan ingin membantu lebih ramai lagi individu seperti OKU di luar sana supaya dapat merubah nasib mereka. Mereka juga kini memanfaatkan kelebihan ICT dalam memasarkan produk-produk hasil keluaran mereka di laman-laman web perniagaan dan kini, kraft1malaysia.co.nr terhasil bagi menampilkan segala hasil produk dan kemudahan perniagaan secara dalam talian (online) serta meletakkan informasi kepada golongan kurang upaya supaya dapat menyertai mereka.


Visi

Menjadi sebuah pusat latihan kraftangan swasta terunggul di Malaysia khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU)

Misi

Memberikan latihan kraftangan kepada golongan kurang upaya (OKU) bagi mencapai objektif berikut:

i. Peluang menimba kemahiran
ii. Peluang menjadi usahawan kraf
iii. Peluang mendapat pekerjaan
iv. Meningkatkan taraf sosio ekonomi
v. Berdikari
vi. Menjadi insan yang bermotivasi serta berkeyakinan tinggi
vii. Insan yang berguna dalam masyarakat

Kini Pusat Latihan OKU Kraf sedang giat mencari individu kurang upaya (OKU) diluar sana yang betul-betul berkeinginan berusaha bersama dalam perusahaan yang dilakukan oleh mereka.

Mereka menawarkan latihan kepada mereka yang berminat dan kesemua ini akan berpusat di Pusat penghasilan kraf milik mereka di Kuala Selangor.

"Beranikanlah diri untuk mencuba, sahutlah cabaran agar menjadi insan berjaya"